Halaman

Siapalah Aku

Siapalah aku kekasih
untuk berlari dan bersenda di sisimu
agar petang-petang begini
aku tak lagi jadi perindu
yang sering digayut pilu
menanti kasih yang sejati

Siapalah aku kekasih
untuk mengundang dan melamar cinta kasihmu
agar malam-malam mendatang
aku tak lagi jadi pemikir
yang resah dilambai pasrah
diulit mimpi nan gundah

Siapalah aku kekasih
insan malang serba kurang
yang pincang direntap ketetapan takdir
sekadar menumpang di sudut yang sempit
tiba ketika pasti tersingkir

Terima kasih kekasih
kerana masih ada garis simpati
yang kau hulur untuk kusambut
kusimpan itu sebagai sejarah
bahawa antara kita kekasih
sama cita sama sehaluan
biarpun kita sebenarnya
sedang mengharung denai perpisahan

Siapalah aku kekasih...

Tiada ulasan: