Halaman

Aku, Kau dan Dia


Mungkin benar kata orang kepadaku bahawa jangan sesekali menduakan cinta yang pernah hadir dalam hidup kita. Apatah lagi jikalau cinta itu tulus dan benar-benar jujur. Aku telah menghancurkan hati seseorang yang benar-benar mencintaiku dan setia menungguku. Aku juga telah menyakiti seseorang yang percaya pada cintaku yang sebenarnya hanya untuk orang yang telah aku hancurkan hatinya. Aku sangat berdosa dan berasa sangat bersalah kepada keduanya. Lantas aku coretkan kisah untuk kamu yang berada di luar sana yang sedang bercinta dan masih baru dalam mengenal apa itu cinta. Aku tidak mahu ada yang mengulangi kesilapanku ini.

Seperti yang lain aku juga punya hati dan perasaan. Aku juga punya kekasih hati yang aku sayangi sehingga ke hari ini. Aku masih mencintainya walaupun dia sudah pergi meninggalkan aku dan aku keseorangan. Aku sudah pun berjanji bahawa aku akan setia kepadanya seorang. Tetapi kehadirannya menggugat segalanya. Walaupun pada waktu itu aku hanya ingin bermain cinta. Aku tidak mencintainya malah aku hanya menyukainya sebagai seorang sahabat. Tapi entah mengapa hal ini telah sampai kepada pengetahuannya. Aku cuba menjelaskannya dan memberinya seribu satu alasan tapi dia menolakku ke tepi dan berlalu pergi. Mungkin inilah balasanku kerana membohonginya dan mencabar kesetiaannya. Mungkin juga ini adalah balasanku kerana telah menyakiti ramai orang yang pernah hadir dalam hidupku.

Aku menyesal dan sehingga ke hari ini aku masih tidak dapat memaafkan diriku. Puas aku merayu padanya dan memintanya kembali kepadaku tapi itu hanya sia-sia. Aku redha dan mengundurkan diri. Namun hati ini belum berhenti untuk mencintainya. Aku tetap menunggunya walaupun dia telah termiliki. Aku menangis dan terus menangis tetapi semuanya telah pun terlambat. Apa lagi yang mampu aku lakukan selain terus diam dan memencilkan diri. Tetapi sebelum semuanya terlambat, ingin aku sampaikan sesuatu kepadanya, kepada dia yang telah aku sakiti dan kepada semua yang pernah hadir dalam hidupku dan telah aku sakiti.

Sayang, maafkanlah segala kesalahan yang telah aku lakukan terhadapmu. Aku telah menghancurkan hatimu yang tulus mencintaiku. Pemergianmu bermakna berakhirnya hidupku. Namun aku tetap mendoakan kebahagianmu. Carilah orang yang lebih sesuai dan yang lebih baik daripadaku. Aku yakin engkau telah pun menemuinya. Sayang, aku menyesal akan perbuatanku yang telah aku lakukan padamu. Ketahuilah bahawa aku masih menyayangimu dan masih mencintaimu. Aku juga masih menunggumu walaupun aku tahu engkau tidak mungkin akan kembali lagi padaku. Tetapi aku masih tetap setia di sini menunggu kehadiranmu buat kali kedua. Aku berdosa kepadamu dan maafkanlah aku. Terima kasih atas kasih dan sayangmu yang tidak berbelah bagi kepadaku dulu. Terima kasih atas kesetiaanmu terhadapku. Aku selalu meragukan kesetiaanmu terhadapku tapi akhirnya aku yang menghancurkan kesetiaanku terhadapmu. Aku tidak memilih sesiapa antara kamu. Jika keputusanku membuat salah seorang terluka, lebih baik kita semua terluka. Aku tahu kau tidak akan menemuiku lagi tapi aku sangat mengharapkan engkau akan datang menemuiku sekali lagi kerana aku ingin melihatmu. Andainya engkau datang dan aku tiada, maafkan aku kerana mungkin aku tidak dapat lagi menunggumu seperti selalu. Mungkin engkau telah terlambat dan aku pergi dahulu. Maafkan aku sayang. Hanya airmata yang menemani aku dan kamu dan aku akan selalu mendoakan kegembiraanmu di sini.

Kepada kamu yang telah aku sakiti, maafkan aku kerana mempermainkan cinta yang engkau berikan. Aku membuat keputusan untuk tidak memilih sesiapapun antara kamu kerana itu yang terbaik untuk kita bertiga. Biarlah kita terluka atas perbuatanku. Aku tidak mahu salah seorang daripada kita sahaja yang terluka. Aku sememangnya menyukaimu namun tidak bermakna aku mencintaimu. Aku hanya inginkan teman yang boleh diajak berbual. Memandangkan engkau hadir dan kita tidak pernah rapat, aku mengambil kesempatan itu untuk mendekatimu dan membina hubungan persahabatan. Walaupun kita pernah terlanjur itu tidak bermakna aku akan meninggalkan cintaku yang tulus terhadap dia. Aku terlalu menyayangi dan menyanjungnya. Dialah segalanya bagiku tapi apa yang telah terjadi membuatkan aku kehilangannya. Walaupun aku memilihmu, ia tidak akan sama sepertinya. Dan aku tahu bahawa engkau juga tidak akan dapat mencintaiku sepenuh hati. Suatu hari nanti engkau juga akan meninggalkan aku. Sebelum itu terjadi aku mengambil keputusan untuk pergi dahulu. Maafkan aku dan apa yang telah aku lakukan terhadapmu. Terima kasih atas layanan dan kasih yang pernah engkau berikan kepadaku. Terima kasih juga kerana sudi hadir dalam hidupku yang serba kekurangan ini. Aku ingin sekali menemuimu dan menjelaskan segalanya tapi aku tahu bahawa engkau tidak akan menemuiku lagi. Aku tahu engkau terlalu membenciku. Aku sedar aku telah membuat kesalahan yang terbesar dalam hidupku dan aku ingin membetulkannya sebelum semuanya benar-benar terlambat. Andainya engkau ingin menemuiku dan aku tiada, aku ingin meminta maaf sekali lagi. Mungkin engkau telah terlambat ataupun aku pergi terlalu awal. Namun, aku tetap mendoakan engkau bahagia di sisi orang yang engkau sayangi. Pergilah dan carilah yang terbaik untukmu. Carilah yang sesuai dan lebih baik daripadaku. Jika engkau telah menemuinya hargailah dia, sayangilah dia dan cintailah dia sepenuh hati. Jangan pernah meninggalkannya walaupun sekali. Maafkan aku kasih kerana aku tidak sempurna seperti yang engkau inginkan.

Kepada mereka yang pernah aku sakiti dan pernah hadir dalam hidupku. Maafkan aku dan segala kesalahanku. Aku telah pun menerima pembalasanku. Aku menyesal atas apa yang pernah berlaku. Kamu tulus datang kepadaku dan mengharapkan balasan daripadaku. Namun apa yang aku berikan hanya kekecewaan. Aku bersalah kepada kamu. Dan bila aku benar-benar mengenal dan memilikinya, ia pergi meninggalkan aku. Itu adalah balasanku atas apa yang telah aku lakukan kepada kamu. Jika itu tidak cukup aku tidak tahu apa lagi yang harus aku perbuat demi menutup kesalahanku terhadap kamu. Tapi aku sangat mengharapkan kemaafan daripada kamu agar aku dapat pergi dengan tenang. Andai aku boleh memutarkan waktu, aku akan perbetulkan semua kesalahanku dan semua yang telah berlaku. Tetapi aku hanya manusia biasa yang tidak pernah sempurna dan telah melakukan banyak kesalahan. Ketahuilah bahawa cinta itu tidak semestinya memiliki. Aku pasti apa yang pernah hilang daripada kamu akan terganti akhirnya. Aku yakin kamu berasa bahagia dengan orang yang kamu kasihi di waktu ini. Walaupun masih ada yang mencari, aku yakin kamu akan bertemu seseorang yang sesuai dengan kamu. Kamu pasti akan mendapat yang terbaik. Setelah itu janganlah kamu mensia-siakannya. Jagalah dia sebaiknya dan jangan melepaskan sesuatu yang baik bagi kamu. Jangan sesekali membuat sesuatu yang akan membuat kamu menyesal seumur hidup seperti apa yang aku rasakan sekarang. Dan maafkanlah aku.

Aku terus menanti saat-saat kemaafan itu. Aku tidak akan lagi mendapat cintaku seperti dahulu tapi aku akan memberikannya walaupun tiada balasan bagi cintaku. Sesiapa yang mendengarnya, terimalah cinta ku yang terakhir kalinya. Airmataku tidak lagi membasahi pipiku, bibirku tidak lagi tersenyum seperti selalu, tiada lagi gelak tawa yang pernah menceriakan suasana suatu ketika dahulu dan tiada lagi suara-suara manja yang pernah memecahkan keheningan malam, menghangatkan musim sejuk, mengindahkan musim bunga, menghilangkan sedihnya musim luruh, memberi ketenangan di musim panas dan membuat matahari tersenyum di siang hari. Apa yang ada hanya rasa bersalah yang tidak terungkap, yang ada hanya sesalan yang tiada penghujungnya, hanya ada kesedihan yang menyelimuti seluruh kehidupan, kegelapan yang tiada sinarnya cahaya dan airmata yang kering. Cerita aku, dia dan kamu hanya sampai di sini. Tidak akan ada lagi yang terluka. Maaf..

*sumber dikirim daripada email sangpencinta@.....com.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

pergi tanpa pesan.. apa sebenarnye?