Halaman

Kehidupan Seorang Lelaki


Ya. Aku cuba menulis. Menulis dari pandangan kaca mata seorang lelaki. Bagiku, realiti itu sesuatu yg sukar ditelan tapi mudah untuk diluahkan. Sama seperti kata-kata cinta. Di sini, aku cuba kaitkan cinta dengan kehidupan seorang lelaki. Ramai lelaki malu untuk memperkatakan tentang cinta. Bukan malu sebenarnya tetapi lebih kepada sifat keegoan dalam diri sendiri. Ya. Perkataan ‘ego’ lebih sesuai digunakan. Ego untuk meluahkan perasaan yang terbuku dalam hati sendiri. Kebanyakan lelaki begitu tetapi tidak bermaksud kesemua lelaki bersifat sedemikian. Malah, ada sesetengah orang meluahkan rasa cinta kepada seorang wanita melalui lagu. Search dengan lagu ‘Isabella’nya. Kris dengan ‘Tiara’. Exists dengan ‘Jesnita’. Mega dengan ‘Nina Karina’. Cukuplah sekadar menyebut beberapa contoh. Dan rasanya banyak lagi. Jadi, aku perlu buang sifat ego itu. Usirkan sahaja ego itu dari diri ini. Agar ianya tidak terus bersarang di hati. Dan tidak perlulah menjadi hipokrit. Menipu diri sendiri demi mempertahankan ego. Kita dijadikan berpasang-pasangan. Jadi, luahkan rasa sayang pada orang tersayang. Cetuskan rasa rindu. Sebarkan rasa cinta.

Cinta dari perspektif lelaki adalah berbeza dengan wanita. Ya. Setiap individu berbeza citarasa. Dan kecantikan seorang wanita itu adalah sesuatu yang subjektif. Ada yang suka pada rupa paras. Ada yang memandang budi pekerti. Ada yang suka pada bentuk badan yang seksi. Dan tidak kurang juga memandang darjat serta harta benda. Entahlah. Tepuk dada, tanyalah iman sendiri. Buatlah pilihan yang tepat dan bersesuai dengan jiwa sendiri agar tidak menyesal di kemudian hari. Ingatlah. Seorang lelaki sepatutnya melakukan apa yang patut dilakukannya. Sekadar satu pesanan ringkas untuk diri sendiri. Pesanan ringkas sewaktu aku masih mampu berfikiran waras.

Bercinta itu tidak salah. Tetapi janganlah terlalu obses dengan cinta. Hingga sanggup melakukan apa sahaja semata-mata kerna cinta. Sanggup mengalirkan air mata berhari-hari kerna gagal dalam bercinta. Sanggup menggadaikan maruah demi cinta. Dan pelbagai lagi kesanggupan dalam mengejar erti sebuah percintaan. “Cinta hanyalah cinta… Hidup dan mati untukku…” Itulah petikan ungkapan dalam sebuah lagu yang bertajuk ‘Tentang Seseorang’. Salah satu lagu dari soundtrack filem ‘Ada Apa Dengan Cinta’ yang cukup aku minati. Agak drastik lirik lagu itu. Terlalu memuja cinta. Cinta sesama manusia. Sebagai seorang Muslim, cinta kepada Allah S.W.T. adalah yang paling utama dan perlu didahulukan.

Aku berharap agar cinta dapat memberikan aku sepasang sayap. Sepasang sayap yang mampu membawa aku berterbangan di udara. Merentasi fantasi diri sendiri yang seluas lautan biru. Fantasi yang tidak terjangkau oleh imaginasi sendiri. Dan mungkin fantasi yang tercipta dari minda separa sedar. Aku sedar. Risiko kepatahan sayap tetap ada. Kemungkinan yang tidak terjangka. Janganlah terbang andainya takut jatuh ke bumi. Dan tidak usahlah belajar terbang andainya tiada sepasang sayap ataupun kepak. Dan ingatlah, membuka minda untuk menimba pengalaman baru adalah salah satu proses untuk menjadi lebih matang.

Dan kepada teman-teman blogger yang ingin berhenti dari arena pemblogging, ini satu nasihatku. Mungkin juga nasihat untuk diriku sendiri. Berehatlah seketika. Biarkan perkara yang merungsingkan jiwa pergi. Dan andainya keadaan kembali tenang, kembalilah menaip. Menaip dengan seikhlas-ikhlasnya. Sepertimana kata-kataku sebelum ini. Keluarkan segala perasaan yang terbuku di hati selama ini. Agar ianya tidak terus bersarang di hati. Tulislah apa-apa yang terbit dari hati nurani selagi ianya tidak bercanggah dengan agama. Dan juga tidak menyentuh isu-isu sensitiviti masyarakat setempat.

Emm. Cukuplah setakat itu kehidupan dari kacamata seorang lelaki. Dan secara tidak semena-mena, teringin pula hendak mengetahui erti kehidupan dari perspektif seorang wanita. Jadi, kepada wanita di luar sana yang membaca blog ini. Ada tak sesiapa yang berani sahut cabaran ini? Cabaran menulis berkenaan kehidupan seorang wanita.

Tidak faham apa yang aku cuba perkatakan di sini? Kalau tidak faham, tidak mengapalah. Mungkin kesilapan diri ini. Abaikan sahaja. Dan lupakanlah. Anggaplah ini hanya bebelanku di kala masa lapang yang terluang. Sekadar hiburan kepada diri sendiri. Tamat.

Tiada ulasan: